You know, foolishness is a disease. I hope you both get well soon. Because ignorance is its terminal stage, and once you're in it, there'll be no cure.
aku tulis post ni khas untuk kau, dengan harapan kau baca dan terasa pedas dan bahangnya. kalau kau xbaca, xpe. at least aku dah luahkan ape yg aku rasa sekian lama dan aku xrasa aku mampu nak tahan dah rasa yg dah semacam rojak dalam hati aku ni. rojak sedap xpe jugak. ni dah peram dekat nak setahun lebih.
ya visi dan misi aku dan kau berbeza. ya aku tak nampak apa yang kau nampak dan apa yang kau cari dalam hidup. ya aku tak melihat dunia kau dari sudut pandangan kau. tapi aku disini bercakap sebagai seorang teman yang melihat dari sudut pandangan aku sendiri, melihat hidup kau terpampang dihadapan aku paling kurang 5-6 jam sehari untuk 4 hari seminggu; kerana itu sahaja masa yang aku ada untuk memerhatikan kau dari jauh. aku bercakap sebagai seorang teman yang kecewa, sedih, marah dan geram. seorang kawan yang sudah putus asa kerana tiada tanda penghargaan ditaburkan dari kata-kata mahupun tingkah laku kau. aku bukan hidup mengharapkan pujian dari kau. tapi kalau aku asyik memberi dan kau menerima, di penghujung cerita apa saja yang tinggal pada aku?
kawan, kau masih muda. jiwa kau jiwa muda. jangan biarkan yg durjana itu menghalang kau dari mengecapi segala kebahagiaan, masam manis kehidupan yang dunia ada untuk kau. segala warna-warna hidup untuk kau calitkan dalam kanvas hidup kau. kau punya pilihan. ya, si durjana itu punya kuasa veto ke atas kau, tapi adakah kau seekor lembu yang bisa dicucuk hidung dan ditarik2 ke hulu kehilir mengikut suka sang pengembala rakus? kau manusia, kau wanita bijak dan berani. mana wanita itu sekarang? ke mana hilangnya wanita itu, gagal aku temui. aku rindu akan semangat dan jenaka dari wanita itu. kerana dia kawan aku, dan aku benci si durjana itu sampai mata tidak lagi boleh melihat, sampai dada gagal bernafas.
aku mahu kau gengam kejayaan dua dunia yang kau ceburi. berbuih bibirku melontar nasihat. semua ibarat air dan daun keladi. aku kecewa. kau bukan tak bijak. kau perlu sedikit usaha dan aku pasti kau akan berjaya. kalau kau sudah tak cakna, aku tak boleh berbicara lebih. nanti khuatir dikatakan menjaga tepi kain orang. tapi ini soal kawan aku sendiri. mana mungkin aku nak berdiam diri. tapi kawan, kalau kau sudah tak ambil peduli, aku pun dah penat nak ambil kisah. lepas ni, jangan kata aku dah tak ambil pusing hal kau. aku dah penat. kita peduli tapi empunya tuan tak nak berubah, aku tak boleh nak tolong. kalau kau sejuk di hutan tebal, aku boleh sarankan kau nyalakan api. tapi kalau kau sendiri tak nak nyalakan api, itu nasib kau, kau sendiri nak kesejukan.
kau suka bermain dengan kata2 petikan yang kau selitkan dengan nama Tuhan. maka aku juga mahu selitkan untuk kau petikan dari surat cinta dari Tuhan. "Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu jika mereka sendiri tidak berusaha untuk mengubah nasib mereka." maaf aku bukan hafizah, aku tidak tahu ayat dari surah yang mana tapi aku tahu ayat itu wujud.
kau kata aku tidak akan pernah memahami apa yang kau lalui kerana aku belum dalam fasa yang sama dengan kau. ya, aku mungkin tidak akan faham apa yang kau lalui. tapi aku bingung kenapa kau sewenang-wenangnya ibarat orang kehilangan akal waras setelah kau dengan si durjana itu. jujur aku katakan aku membenci si durjana itu saat kau mula berbicara tentang dia di awal perkenalan kalian. jujur aku katakan aku tidak merestui apa yang kalian ada sekarang. tapi yelah, siapalah aku dan apa sajalah restu aku boleh buat dengan hubungan kalian. aku hanya orang luar. orang luar yang memerhati dari sudut pandangan yang kau gagal lihat. sudut pandangan yang kau lupa untuk lihat.
teman yang lain juga sama status dengan kau. ya si durjana itu yang utama untuk kau. tapi adakah bermakna kau boleh membelakangkan keluarga kau? teman-teman kau? siapa kau tanpa keluarga kau? fikirkan harapan mereka. fikirkan perasaan mereka. perasaan yang tersirat dan tersurat. yang mereka pamerkan dan yang mereka sembunyi dari kau demi menjaga hati kau. lagi sekali, siapalah aku untuk bercakap lebih. aku hanya orang luar. dan aku tidak mungkin akan faham kerana aku tidak sama status dengan kau. tapi ingat kata-kata aku kawan. di saat aku berada dalam fasa yang sama dengan kau, akan aku tuntut penerangan dari kau, bahagian mana yang kau pernah katakan bahawa aku tidak akan faham mengenai kehidupan berdua kau yang pada waktu itu, aku masih belum hidup berdua. akan aku tuntut penerangan dari kau. aku tuntut. aku bersumpah akan aku tuntut.
si durjana itu kalau dia peka dengan tanggungjawab yang digalas dibahunya, pasti akan dia fikir mengenai dunia lagi satu yang kalian tidak kongsi bersama. pasti dia menyokong kau mengengam kejayaan dunia kedua kau. bagaimana tidak kau lihat semua ini? bagaimana kau boleh jadi begitu lemah dengan si durjana itu? aku tanyakan sekali lagi pada kau. adakah kau benar-benar rasa kau perlu lelaki seperti itu menyokong hidup kau saban hari sampai mati? sekali lagi aku katakan, kau punya pilihan. dan kau juga mampu mengubah beberapa perkara. tolonglah jangan menjadi lembu. kawanku manusia, bukan haiwan tak punya akal fikiran waras. mungkin benar Tuhan beri si durjana itu khas untuk kau, supaya kau jadi wanita kuat, bukan terus jatuh rebah menyerah dan beserah dengan segala apa yang berlaku. kau bukan begitu yang aku kenal.
kau pernah berkata, kau berharap hubungan kita tidak akan berubah dek badai yang menimpa februari lepas. aku ingin kau tahu, hubungan kita telah pun berubah. bukan aku seorang tapi teman yang lain juga merasakan begitu. jangan mengharap aku seperti dulu melayan kau. aku sudah penat. aku sudah penat risau pada orang yang tidak risau akan nasib sendiri. aku sudah penat merasa marah. aku sudah penat membenci. aku dan yang lain sudah penat. apa yang kau mahu buat dalam hidup, silakan. andai kau mahu keluar dari dunia yang kau kongsi bersama kami tetapi bukan dengan si durjana itu, silakan.. kerana aku yakin, kau pasti ingin bersama si durjana itu dalam dunia kalian, satu dunia yang mana tidak kami kongsi bersama.
andai kami tidak memberi sebarang faedah dalam hidup kalian, tak mengapa. tidak perlu si durjana itu menghalau aku, aku dengan berbesar hati akan keluar dari hidup kalian. kerana sejujurnya jauh dalam hati, aku mahu tamatkan riwayatnya andai membunuh itu bukan satu dosa.
aku tidak akan meminta maaf dari kau andai kau terasa dengan karangan aku. aku tidak akan pernah rasa aku melakukan perkara yang salah. aku tidak akan pernah lupa kau. aku tidak akan lupa mendoakan kau dari jauh. dan aku tidak akan pernah rasa senang dengan si durjana itu, walau sekelumit pun.
dan kawan yang baik kepada kawannya yang lain akan cuba faham kawannya.....
0 other fingers talking:
Post a Comment